Bagi saya, Khairy Jamaluddin (KJ) itu istimewa dan juga tidak istimewa. Dia istimewa kerana sebagai seorang remaja berusia 28 tahun, sudah berupaya memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda tanpa bertanding, kerana semua pesaingnya cepat-cepat menarik diri untuk memberi laluan!

Lebih istimewa lagi ialah selepas beliau mengesahkan persediaannya untuk bertanding jawatan tersebut pada 10 Julai lalu, keesokannya, tiga akhbar arus perdana Mingguan MalaysiaBerita Minggu dan New Sunday Times sama-sama menyiarkan wawancara dengan Khairy secara besar-besaran.
Wawancara tersebut disiarkan serentak dalam tiga media utama bagi seorang calon Naib Ketua Pemuda yang hanya setahun jagung. Dari apa ukuran sekalipun, ia boleh dianggap sebagai layanan istimewa yang diberikan khas kepada KJ, menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi!
Ini bukanlah satu pujian, dan juga bukan satu tuduhan terhadap KJ, tetapi hanya memaparkan suatu gejala media dalam tanah-boleh ini!
Pada 18 Julai (kenapa tidak pada 11 Julai?), Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang bertanding jawatan Presiden juga mendapat layanan "istimewa" diwawancara oleh tiga media utama yang sama seperti KJ. Bezanya ialah wawancaranya disiarkan selepas beliau gagal mendapat satupun pencalonan, sebelum Bahagian Gua Musang mengadakan mesyuarat perwakilannya!
Patut diakui juga bahawa selain menantu Perdana Menteri, keistimewaan KJ juga berkaitan dengan peranan yang dimainkannya, antara lain, menurut beliau sendiri, ialah "membantu PM dalam membuat kajian, penyelidikan, menulis ucapan beliau, merangka strategi, dasar-dasar Perdana Menteri dan sebagainya."
Pendek kata, keistimewa KJ tidak terpisah daripada hakikat bahawa beliau adalah menantu PM dan orang yang dipercayai PM, dan kerana itu berpeluang menghampiri pusat kuasa Umno dan mungkin juga sedikit sebanyak, memainkan peranan dalam penggubalan dasar dan pencapaian keputusan yang akan diambil PM/Umno/Barisan Nasional (BN).
Suka diampu
Namun, aspek-aspek KJ yang istimewa ini tidak semestinya positif. Misalnya Adiba Basir daripada Puteri Umno, dalam suratnya bertajuk "Pendedahan budaya elitis Khairy Jamaluddin" (Malaysiakini, 12 Julai 2004), mendedahkan bagaimana KJ sudah lama berniat hendak menjadi orang nombor satu dalam apa-apa bidang, dan bagaimana pula beliau suka dinobatkan, suka diangkat, dan suka ada kuasa dan pandai pula menggunakan kuasanya.
Khairy Jamaluddin dan demokrasi dalam Umno oleh Hamdan Sulaiman dalam laman web Umno-Reform pula mengemukakan isu-isu yang patut dipandang berat oleh Pemuda terutamanya KJ sendiri, iaitu tentang "hakikat bahawa Pemuda Umno yang garang sebelum ini, tiba-tiba layu untuk memasuki gelanggang pertandingan Naib (Ketua) Pemuda, sudah pastilah meimbulkan beberapa isu besar. Tema kepada isu-isu ini adalah apakah Umno sudah menjadi sebuah parti kerdil dan mengalami inferiority complex yang dahsyat, budaya feudal terus disuburkan serta kematian demokrasi dalam parti."
Namun, selepas membaca ketiga-tiga wawancara tersebut, yang menghampakan ialah saya tidak temui apa-apa yang boleh disifatkan sebagai istimewa baik wawasan baru, maupun kekuatan keintelektualan dan kebijaksanaan sebagai seorang strategis melainkan manifestasi kementahan politik dan sikap berpura-pura.
Topik menantu PM terlalu ditonjolkan, meskipun dengan cara menafikan fakta tersebut, telah memberi kedudukan istimewa kepada beliau. Jika beliau benar-benar hendak mematikan topik tersebut, beliau sepatutnya tidak melayankan soalan-soalan terbabit, bukan berpuluh-puluh kali dikaitkan nama bapa mentuanya, sepertimana yang dilakukannya dalam wawancara.
Penafian berlebihan berkaitan kedudukan istimewa yang dinikmati beliau (satu keuntungan bukan kesalahan) sebagai menantu PM, malah cuba memberi gambaran seolah-olah beliau telah dianiayai kerana hakikat itu bukan saja tidak bijak, malah memperlihatkan sifat hipokrit .
Cuba andaikan, jika Najib Razak dan Hishammuddin Hussein mengatakan kedudukan politik mereka masakini adalah atas kapasiti dan kemampuan mereka sendiri dan tiada berkaitan dengan latarbelakang keluarga masing-masing, adakah dakwaan mereka itu boleh dianggap sebagai jujur?
Dan jika mereka cuba meraihkan simpati dan sokongan murahan dengan berulang-ulang mengatakan bahawa latar-belakang keluarga mereka membebankan mereka, mengakibatkan mereka dianiaya, adakah ia merupakan strategi yang bijak?
Selepas Hishammuddin dan Abdul Aziz Sheikh Fadzir berjaya memujuk pesaing-pesaing KJ supaya menarik diri untuk memberi laluan menurut "demokrasi terpimpin" Umno, dan setelah beliau sendiri (KJ) sedar akan menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda, barulah KJ memberi tahu wartawan bahawa demi keselesaan dan kredibiliti beliau nanti, elok kalau ada pertandingan. (WawancaraMingguan Malaysia).