Monday, September 23, 2013

YB Dtk Amar Abang Johari merasmikan Mesyuarat Agung PBB Cawangan YB Datuk Abdul Karim Hamzah



Perpaduan, disiplin ahli kukuhkan PBB dalam BN

by Rusnan Mustafa. Utusan Borneo September 23, 2013, Monday
KEKAL BERSATU: Abang Johari bersalaman dengan ahli PBB Cawangan Asajaya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan PBB Cawangan Asajaya semalam. Turut kelihatan Karim (dua kanan).
PBB kini menjadi parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional selepas UMNO, kata Abang Johari
KOTA SAMARAHAN: Kejayaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) selepas UMNO adalah hasil perpaduan dan disiplin setiap ahlinya di pelbagai peringkat.
Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, bagi mengekalkan momentum berkenaan setiap anggota harus memelihara perpaduan dan disiplin yang tinggi dalam parti itu.
“Selepas kejayaan yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum yang lalu, kita di PBB berjaya menyapu bersih kesemua kerusi yang dipertandingkan sekali gus menjadi tulang belakang kejayaan BN di Sarawak untuk memberi mandat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Tun Razak) menerajui negara ini.
“Malah, PBB kini menjadi parti kedua terbesar dalam komponen BN selepas UMNO hasil kerjasama, perpaduan dan disiplin yang tinggi di kalangan ahli di semua peringkat yang perlu dipelihara dan diteruskan pada masa depan bagi memastikan PBB terus kukuh dan menjadi tulang belakang kepada BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Asajaya di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini semalam.
Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan berkata, kecemerlangan yang ditunjukkan oleh PBB pada pilihan raya lalu juga telah membolehkan empat anggota Parlimennya dilantik menjadi menteri penuh sementara tiga orang lagi menjadi timbalan menteri di peringkat kerajaan persekutuan.
Justeru, beliau menyeru agar setiap ahli PBB di semua peringkat meneruskan perjuangan parti itu untuk terus menerajui Sarawak membangunkan dan memajukan rakyat dalam usaha mencapai matlamat menjadi negeri terkaya di Malaysia menjelang 2030 kelak.
“Perpaduan dan disiplin ini perlu terus dipelihara memandangkan perjalanan kita masih jauh dan pucuk pimpinan kita mahukan PBB menerajui usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” tambahnya.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, PBB berjaya mengekalkan 14 kerusi yang dipertandingkan dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu, Abang Johari berkata PBB kini dalam proses menjalani program pembaharuan dengan mengetengahkan muka-muka baharu di peringkat cawangan dan ranting.
“Walaupun terdapat sedikit perubahan dalam kepimpinan di peringkat cawangan dan ranting namun ini adalah sejajar dengan usaha kita untuk meremajakan parti,” katanya.
Menurutnya proses pengenalan muka-muka baharu ini setakat ini telah dilaksanakan dengan baik berdasarkan perjalanan lancar proses pemilihan peringkat cawangan dan ranting parti itu.
PBB akan mengadakan konvensyen tritahunannya antara 18 dan 22 Oktober depan di mana pemilihan untuk peringkat kepimpinan tertinggi parti itu akan dijalankan.
Hadir sama Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan barisan ahli PBB Cawangan Asajaya.


No comments:

Post a Comment