Monday, September 23, 2013

YB Dtk Amar Awang Tengah merasmikan mesyuarat agung cawangan PBB YB Ripin Lamat




PBB antara komponen BN paling kukuh: Awang Tengah

Utusan Borneo September 15, 2013, Sunday
MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah salah sebuah parti politik komponen Barisan Nasional (BN) paling kukuh di Malaysia dan menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan Sarawak sejak dahulu.
Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia tidak akan berdiri dan bertahan sehingga kini jika tidak mempunyai barisan kepimpinan yang unggul sejak dahulu hingga sekarang.
“PBB telah diletakkan asas yang kukuh melalui kepimpinan dan kini kita harus meneruskan perjuangannya,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan Perwakilan PBB Cawangan Lambir, di sini malam kelmarin.
Turut hadir Setiausaha Agung PBB Negeri, Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat.
Katanya, iktibar boleh diambil melalui beberapa parti politik yang dahulunya bertapak kukuh di negeri ini tetapi akhirnya lemah dan hampir terkubur oleh kerana krisis kepimpinan di dalamnya.
Mengenai hal itu, generasi baharu harus memahami dan sedar akan sejarah yang membolehkan PBB terus berdiri teguh sehingga kini.
“Kejayaan dalam PBB tidak datang melayang, malah telah melalui pelbagai rintangan untuk terus bertahan,” ujarnya.
Oleh sebab itu, beliau turut meletakkan harapan tinggi terhadap golongan muda untuk memastikan kesinambungannya.
Mengenai ahli-ahli parti, Awang Tengah turut menasihati mereka untuk meletakkan keikhlasan sebagai keutamaan dalam parti.
“Jangan kita biar ada bibit-bibit perpecahan untuk menyusup walaupun sedikit ke dalam parti kita (PBB),” jelasnya.
Dalam pada itu, Ripin yang turut berucap sebelumnya memberitahu PBB Cawangan Lambir kini mempunyai lebih 3,000 keahlian dan kawasan berkenaan kini mempunyai bilangan pengundi hampir 5,000 orang.

No comments:

Post a Comment