John Tenewi PKR
DAP akan tetap letak Mordi di Mas Gading: Chong
Borneo Post on February 20, 2013, Wednesday
KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan tetap meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Mas Gading meskipun dibantah keras oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pusat, Datuk John Tenewi.
Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen berkata, kenyataan Tenewi tidak menggambarkan pandangan sebenar pemimpin akar umbi PKR di Mas Gading.
“Saya telah menghubungi pemimpin-pemimpin akar umbi PKR di Mas Gading dan jelas sekali mereka tidak sependapat dengan Tenewi. Hakikatnya, mereka memberi jaminan akan menyokong penuh calon kami (DAP), Mordi Bimol,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, semalam.
Kenyataan Chong itu jelas bertentangan dengan dakwaan Tenewi baru-baru ini apabila beliau memberitahu DAP agar menjauhi kerusi Mas Gading atau ‘langkah mayat mereka (PKR) dahulu’ jika mahu bertanding di kerusi tersebut.
Tenewi menambah, DAP seharusnya memfokus sepenuhnya kepada kerusi-kerusi (Parlimen) di kawasan bandar dan menyerahkan konsituensi majoriti Dayak kepada PKR.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan Naib Presiden PKR pusat itu, Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, Tenewi hanya menyuarakan pandangan peribadinya bukan usul kolektif rakyat peringkat akar umbi.
Beliau menegaskan tidak akan melepaskan Mas Gading tanpa mencuba terlebih dahulu kerana pada akhirnya, keputusan calon dari parti mana yang bertanding akan ditentukan oleh pucuk kepimpinan Pakatan Rakyat (PR).
“Sudah tentu menjadi kebiasaan untuk mana-mana parti untuk meletakkan calon masing-masing, tetapi siapa jua calonnya kami (DAP) akan memberi sokongan,” katanya.
Beliau menambah, kedua-dua parti akan cuba sedaya mungkin untuk mengelak pertarungan antara lain kerana ia hanya akan menjejaskan peluang PR menang.
Menurut Chong, PR di Sarawak seharusnya dapat mencatatkan kemenangan maksimum iaitu 12 daripada 31 kerusi parlimen yang dipertandingkan di negeri ini.
Chong tanpa menyatakan dengan lebih spesifik kerusi yang bakal diletakkan calon DAP berkata, kebanyakannya adalah konstituensi di kawasan bandar selebihnya luar bandar.
Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah Christina Chiew, Pengerusi DAP Sri Aman, Leon Jimat Donald dan Mordi.
No comments:
Post a Comment