Posted on January 28, 2013, Monday
BELAWAI: Misi mempertahan kerusi dan persediaan rapi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman.
“Saya bersedia mempertahan kerusi Parlimen Tanjung Manis pada PRU13 jika saya diberi peluang untuk bertanding sekali lagi. Malah, saya berikrar akan melakukan yang terbaik untuk rakyat.
“Melihat kepada sokongan rakyat tempatan sejak sepenggal kepimpinan yang lalu, saya percaya rakyat lebih bijak membuat penilaian terbaik.
“Segalanya saya serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan memilih pemimpin yang menerajui tampuk kepimpinan Parlimen ini mahupun dalam soal kemenangan atau tentangan hebat parti lawan,” katanya.
Dalam pada itu, Norah turut menyatakan keyakinannya mampu untuk mengulangi kemenangan pada PRU13 jika dipilih sekali lagi menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tanjung Manis sejak sepenggal lalu.
“Dalam hal ini rakyat mempunyai hak membuat pilihan terbaik untuk mereka.
“Seperti yang saya selalu katakan, saya sentiasa terbuka dan saya serahkan segalanya kepada qada dan qadar.
“Manusia ini hanya berusaha dan berdoa dalam apa juga yang dilakukan, tetapi Allah yang akan menentukannya sebab itulah ia ada dinyatakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan dan Komputer Riba 1Malayisa di sini, Jumaat lalu.
Norah telah memenangi kerusi Parlimen Tanjung Manis tanpa bertanding pada PRU 2008.
Berdasarkan ramalan pemerhati politik, PRU13 tidak memberikan sebarang impak negatif bagi Norah untuk mempertahan kerusi Parlimen tersebut kerana beliau sememangnya mempunyai rekod kepimpinan yang baik serta sentiasa mendapat sokongan padu rakyat.
No comments:
Post a Comment