Monday, May 31, 2010

SUPP tikam BN dari belakang

Oleh Thun Diwan

MUKAH: Tatkala Barisan Nasional (BN) menuding jari terhadap kebiadaban Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai punca kekalahan pada pilihanraya kecil Parlimen Sibu yang lalu, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pula menuduh keuzuran polisi kerajaan sebagai faktor.

SUPP secara senyap menyalahkan polisi kerajaan yang dikatakan telah lapuk dan tidak lagi relevan kepada masyarakat bandar adalah antara penyebab kecundangan BN di Sibu.

Malah SUPP percaya sekiranya BN sebagai peneraju kerajaan tidak bertindak segera mengubah polisi sedia ada yang disifatkan telah dimamah usia, bukan sahaja parti ini malah semua parti komponen BN bakal terjejas pada pilihan raya yang akan datang.
"Kekalahan itu bukan hanya disebabkan pemaianan kotor DAP, tetapi ia lebih kepada polisi kerajaan," kata orang kanan parti itu.

Menurutnya, BN perlu mengubah polisi yang sedia ada sekirannya ingin melihat kerajaan sekarang terus relevan.

Beliau yang mengakui sokongan terhadap parti itu kini kian merosot tidak menolak kemungkinan akan gagal mempertahankan semua kerusi Dewan Undang Nengerinya pada pilihan raya negeri akan datang.

"Parti ini hanya mendapati empat kerusi yang masih dalam zon selamat, selebihnya termasuk kerusi yang disandang oleh presiden turut dalam zon bahaya,"jelas nya.

Jika dirujuk ulasan para pemimpin BN berhubung kekalahan mereka di Sibu yang dimuatkan oleh akbhar-akbhar tempatan, pandangan orang kanan SUPP ini ada rasionalnya.

Apa tidaknya apabila kebanyakan pemimpin parti pemerintah itu hanya menuduh DAP Pusat yang datang beramai-ramai berbekalkan sikap biadad serta berkempin menggunakan taktik kotor ada punca kepada kekalahan BN pada pilihan raya itu.

Selain itu berdasarkan 'hansard' bagi persidangan Dewan Undangan Nengeri (DUN) yang baru berlalu, ramai ahli penyokong kerajaan juga turut mengecam DAP dengan mengatakan parti itu menang kerana bermain politik kotor.

Apa yang menyedihkan, tidak seseorang pun dari kalangan ahli penyokong kerajaan ini 'mencermin diri' untuk melihat kesilapan sendiri sebelum menunding jari ke arah orang lain.

Apakah benar kekalahan BN di Sibu tidak ada kaitan dengan kelemahan sendiri? Umum mengetahui tiada yang sempurna di dunia ini.

BN sepatutnya menyalahkan diri sendiri dan bukan ditutup dengan menunding jari ke arah pihak lain.

Orang kanan SUPP ini dilihat cukup jujur apabila tidak menolak bahawa kekalahan BN ada kena dengan BN sendiri.

DAP hanya bertindak atas dasar dan memainkan peranan sebagai pihak pencabar untuk mendapatkan sokongan dan menarik perhatian pengundi pada masa itu.

Mengikut "hansard" persidangan, dua ADUN yang bersuara lantang ketika mengulas kekalahan BN itu, bersependapat menuduh kebiadaban dan kekotoran politik DAP sebagai punca kekalahan mereka.

Seorang daripadanya mengungkap seolah-olah semuanya kerana DAP, BN kalah di Sibu kerana DAP, dan perlaksanaan pembangunan terjejas kerana kerana DAP.

ADUN yang cukup bersih dan disukai pengundi ini tetap mengagung-agungkan kebersihan BN dan kekalahan itu tiada kaitan dengan wujud rasa kurang senang rakyat terhadap polisi BN.

Seorang lagi turut berpandangan serupa apabila turut menikam DAP dengan tuduhan bermain kotor untuk mendapatkan kemenangan pada pilihan raya itu.

Bagaimanapun apa yang dimaksudkan oleh kedua-dua wakil rakyat ini sebagai 'biadab' dan 'bermain kotor' tidak dihuraikan.

Apa kotor nya, menabur wang? Mengumumkan projek dan bantuan dalam kempen? Bawa pengundi dari luar? Menghalang orang mengundi, menipu undi, menyediakan peti undi sendiri atau apa lagi?

Jika itu yang dimaksudkan, bermakna ia adalah satu kesalahan jenayah kepada DAP dan harus dirujuk kepada pihak berkuasa.

Sekiranya orang kebanyakan berpeluang untuk menyuarakan pandangan, mereka mungkin mengeluarkan nasihat kepada kedua-dua ADUN ini supaya merapatkan diri dengan rakyat untuk mengetahui punca sebenar kekalahan itu.

ADUN seharusnya mengadakan banyak program bersama orang ramai untuk menyelami isi hati serta dambaan dan kehendak mereka samada pembangunan? Berseronok? Atau begurau senda?

'Tepuk dada tanya selera' - duduk berseronok dan berseloroh dengan rakan-rakan tidak akan mengubah nasib pengundi.

Perlu diingat mengemukakan alasan menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan sendiri adalah ibarat melontar batu sembunyi tangan.

Di samping itu melakukan sesuatu dengan harapan orang lain kena tuduh adalah amalan politik yang berkepentingan sendiri dan ini diumpamakan oleh orang Iban ibarat 'Berani Kesa'

Apa tidak nya apabila kehadiran beramai-ramai DAP dipersalahkan tetapi kehadiran besilih ganti pemimpin BN ke Sibu yang menimbulkan rasa tidak puas hati pengundi kerana dilihat pembaziran dan 'makan angin' tidak dikaitkan dengan kekalahan itu.

Malah, kehadiran jumlah besar pemimpin BN persekutuan ini direlakan dan disorok di bawah tikar permaidani.

Para pemimpin ini dilihat oleh pengundi sewenang-wenangnya mengambil kesempatan mengunakan tiket sebagai menteri untuk beseronok.

Umum tahu itu adalah bukan satu kesalahan kerana mereka menjalankan tugas rasmi dan layak untuk mendapat biayaan kerajaan, tetapi perlu ingat pengundi sekarang dah matang.

Pemimpin BN persekutuan yang berkampung di Sibu pada tempoh kempen itu jika tak silap, jumlahnya jauh mengatasi pemimpin pembangkang yang menyeluk saku sendiri.

Sebenarnya BN boleh menggunakan keistimewaan yang ada pada mereka dari segi jentera pilihanraya parti untuk mendapatkan kemenangan kerana mereka ada hak untuk berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, sekiranya BN masih jua kalah, ia bermakna sahlah polisi yang dijalankan tidak lagi berkesan kerana rakyat semakin matang.

Itu mungkin makna keusangan dan keuzuran polisi yang dimaksudkan oleh orang kanan SUPP itu.

Jika benar begitu, BN perlu mengubah ke arah sesuatu yang menjaminkan masa depan rakyat dan jangan diretorikkan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

Biar rakyat benar-benar merasakan mereka'didahulukan dan bukan dikebelakangkan.'

1 comment:

  1. cerita paling bulak pernah dengar kamek

    ReplyDelete