Saturday, May 22, 2010

'Sindrom yakin' SUPP beri DAP peluang

Oleh Prof. Dr. X

KUCHING: 'Sindrom yakin' dengan penilaian sendiri yang percaya tahap prestasi SUPP adalah tinggi mungkin akan menyebabkan Bandar Raya Minyak dilanda gelombang DAP pada pilihan raya negeri kelak.

Kuching dan Sibu telah kini merasai keperitan sindrom keyakinan itu.

Setiap kali disoal umum, terutama pengamal media, jawapan pemimpin SUPP adalah standard - "Yakin".


Kerusi Parlimen di bandar raya itu ialah Parlimen Miri yang kini disandang oleh menteri dalam kabinet persekutuan, Peter Chin Fah Kui.

Pada pilihan raya umum 2008, Peter Chin, Setiausaha Kerja SUPP, ditentang Fong Pau Teck daripada DAP. Peter Chin menang dengan majoriti 5,216 undi.

Fong, selepas DAP menang merampas kerusi Parlimen Sibu daripada BN menerusi pilihan raya kecil 16 Mei lepas, memberi amaran kepada SUPP.

Gelombang kemenangan DAP kini menguasai dua bandar utama Sarawak.

Pada pilihan raya umum 2008, DAP mengekalkan penguasaannya di kerusi Bandar Kuching menerusi Chong Chieng Jen. Chieng Jen menewaskan Alan Sim Yaw Yen daripada SUPP. Satu-satunya kerusi Parlimen DAP di Sarawak.

Terbaru, Robert Lau Hui Yew (SUPP) kecundang di tangan Wong Ho Leng (DAP).

Dengan kemenangan itu, DAP kini memiliki dua kerusi Parlimen di Sarawak.

Meskipun Pau Tek tewas di tangan pemimpin kanan SUPP itu, isyarat dia jelas menggambarkan usaha untuk menawan bandar raya minyak itu sudah bermula.

SUPP sepatutnya perlu lebih gentar apabila pilihan raya negeri bakal menjelang selewat-lewatnya tahun depan.

Ia bukan sekadar menguji sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap BN, tetapi tahap 'keseriusan' sindrom yakin di kalangan pemimpin SUPP.

SUPP setakat pilihan raya negeri 2006, mampu mempertahankan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri di bahagian utara.

SUPP ketika itu hilang kerusi DUN Padungan, Batu Lintang, Pending, Kota Sentosa, Meradong, Kidurong, Engkilili dan Bukit Assek. Satu keputusan yang agak mengejutkan sebelum era kebangkitan parti-parti pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya negeri 2006, Pau Teck bertanding di DUN Pujut dan tewas kepada Andy Chia Chu Fatt (SUPP). Chu Fatt memperolehi majoriti 1,370 undi.

Mengulas mengenai amaran Pau Teck, Penolong Setiausaha Agung SUPP, Lee Kim Shin dengan nada angkuh memberitahu Miri selamat daripada serangan DAP.

"Kita di Miri sentiasa siap-sedia dan kita memang kerja hari-hari. Bagi kita (SUPP) di Miri sentiasa bersiap-sedia," katanya.

Kim Shin merupakan Menteri Muda Sukan dan ADUN Senadin yang menang menewaskan Chai Chook Fui (PKR) dengan majoriti 4,799 undi pada 2006.

Dia yakin kemenangan DAP di dua bandar utama Sarawak sebelum ini tidak akan berjangkit ke Miri.

"Kita yakin kita kekal BN (BN kekal mendapat sokongan majoriti di Miri) dan saya percaya warga Miri dapat melihat dan menikmati segala pencapaian BN di Miri selama ini," katanya.

Mengenai taktik memenangi hati para pengundi di Miri, dia berkata:

"Tak payah sebut strategi, strategi kita tak akan kita sebut. Kita tahu apa nak kita buat. Yang penting perkhidmatan kepada rakyat...yang penting prestasi."

Adakah strategi itu masih mengekalkan metodologi lama - menjanjikan dan memberikan peruntukan? Kim Shin enggan mengulas.

Selepas pilihan raya kecil Parlimen Sibu, muncul pelbagai ulasan dan analisis dalam media arus perdana dan tempatan.

Beberapa pihak, termasuk Pau Teck, menyimpulkan strategi kempen BN yang sekadar menjanjikan dan memberikan peruntukan ketika pilihan raya merupakan cara lama dalam usaha meraih undi.

"Ini adalah (isu) lain dari satu tempat ke tempat yang lain. Strategi di sesuatu kawasan tidak sama. Di Miri selama ini kita ada stretegi sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment