Oleh: Prof. Dr X
KUCHING: Tidak jujur dan menguntungkan orang kaya.
Itu kesimpulan yang dibuat oleh Wong Ho Leng, ADUN Bukit Assek, dan pengerusi DAP Sarawak atau terkini, pemenang pilihan raya kecil Parlimen Sibu, terhadap pelaksanaan kadar baru bayaran pajakan tanah.
Tidak jujur kerana ia diumumkan Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud pada tempoh kempen pilihan raya di Sibu.
Pengumuman pada malam 14 Mei itu, menurut Ho Leng sekadar bertujuan memikat hati para pengundi di kawasan Parlimen itu.
Tetapi ia gagal menemui matlamat apabila Robert Lau Hui Yew daripada BN tewas di kawasan majoriti Cina itu.
"Kerana satu pilihan raya kecil di Bandar Sibu semua pemilik tanah di Sarawak diberikan pengurangan bayaran premium. Tetapi rakyat tidak lagi bodoh.
"Pengurangan itu tidak ikhlas. Ia lebih mirip dengan lobak pilihan raya," katanya dalam nada lantang dan mengekalkan gaya persis seorang peguam mempertahankan hujah pembelaan dalam mahkamah.
Kelantangan mengkritik dasar dan pentadbiran BN, membuatkan sesetengah komuniti Cina menganggap dia adalah wira yang mampu menjadi 'penyemak dan penyeimbang'.
DAP atau parti komponen Pakatan Rakyat yang lain, sering mengaitkan dan mendakwa BN sebagai kerajaan korup dan gagal menjaga kebajikan masyarakat.
Kadar bayaran baru itu berkuat kuasa pada 1 Jun 2010.
Meneruskan hujahnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Ho Leng berkata, premium baru itu tidak adil, malah tidak logik.
"Ia membebankan dan menghukum golongan miskin dan menyebelahi orang kaya," katanya.
Polisi baru itu adalah berdasarkan kadar sama rata.
Di bawah kategori tanah kediaman, kerajaan mengenakan sewa RM1,000 bagi seunit rumah teres, rumah kembar (RM3,000) dan rumah sebuah (RM6,000).
Dia mengemukakan contoh untuk membuktikan ia memberi manfaat kepada golongan kaya.
Sebuah rumah teres juga boleh terdiri daripada rumah intermediate dua tingkat dengan keluasan tanah empat point atau 0.04 ekar dengan harga RM150,000.
Nilai rumah intermediate setingkat adalah lebih rendah yang dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah, iaitu RM32,000. Ia juga boleh terdiri daripada rumah teres di tepi di atas keluasan 20 point dengan harga RM250,000. Tanpa mengambil kira nilai rumah dan saiz tanah, pemilik rumah akan membayar kadar sama rata iaitu RM1,000.
Kerajaan BN katanya, tidak harus menjadikan bayaran pajakan tanah sebagai sumber pendapatan.
"Sarawak merupakan negeri yang mempunyai banyak sumber. Kita tidak perlu menjana pendapatan daripada bayaran pajakan tanah," kata Wong yang masih dalam 'mood' kemenangan selepas memasuki hari keempat.
No comments:
Post a Comment