Oleh: Prof. Dr. X
KUCHING: Affendi Jeman yang mengetuai jawatankuasa penaja penubuhan Parti Agenda Rakyat Bumiputera Sarawak (PARBS) perlu berhenti berharap dan berangan.
Jika dalam kes orang bercinta, Affendi ibarat menunggu balasan kata cinta daripada seorang gadis yang amat digilai.
Belum pun gadis idaman hati membuka mulut sama ada mengatakan 'ya' atau 'tidak', dia sudah berangan untuk membina mahligai indah bersama gadis tersebut.
Dia mengidam untuk menubuhkan kerajaan negeri. Adakah itu akan menjadi kenyataan sedangkan dia belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan parti politik.
Affendi sebelum ini begitu giat merekrut warga Sarawak untuk menubuhkan cawangan UMNO di negeri ini.
Dia bergerak menggunakan nama Jawatankuasa Penubuhan UMNO Negeri Sarawak (JPUNS) dan mempunyai pejabat di Matang Jaya.
Pada awalnya, JPUNS disertai oleh beberapa bekas ahli PBDS seperti Mejar (B) Peter Runin. Kononnya, JPUNS mendapat restu daripada para pemimpin UMNO.
Mungkin setelah menemui jalan buntu, Affendi tidak berminat untuk meneruskan JPUNS dan membuka lembaran baru dengan cuba menubuhkan PARBS.
Yang pasti ada dalang disebalik JPUNS dan PARBS selain Affendi.
Kini setelah genap setahun, dia mengesahkan permohonan untuk menubuhkan PARBS belum diluluskan ROS sedangkan semua syarat telah dipenuhi.
Jika demikian, pastinya jawapan terletak di tangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.
Hishammuddin juga tidak sendirian dalam hal ini. Dia perlu memperoleh persetujuan beberapa pihak yang berkepentingan. Dia syak wujud halangan daripada pihak tertentu.
Kelewatan untuk mendapat tahu sama ada 'gagal' atau 'lulus', menyebabkan Affendi kecewa.
Satu percubaan untuk memasuki karier politik haluan kanan (BN) sudah terkubur, dan kini cubaan kedua hampir menemui noktah.
Kekecewaan itu disertai dengan frasa berikut:
“Ini saya sifatkan ketidakadilan terhadap permohonan PARBS.”
Lebih ironi, dalam kekecewaan itu dia masih menaruh angan-angan melambung.
“Tujuan PARBS didaftarkan adalah untuk menyertai pilihan raya negeri akan datang dan yakin mampu untuk membentuk kerajaan baru untuk Sarawak."
“PARBS adalah suara untuk rakyat Sarawak dengan slogan Bumiputera Bersatu Maju,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment