Antara jawatan-jawatan yang di khabarkan masih terbuka untuk pencalonan adalah jawatan-jawatan Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua wanita, Ketua pemuda dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi.
14 Okt tarikh tutup pencalonan badan induk PBB
Utusan Borneo September 28, 2013, Saturday
KUCHING: Jawatankuasa Kerja Perhimpunan Agung Ke-13 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menetapkan 14 Oktober sebagai tarikh tutup pencalonan untuk badan induk.
Tarikh tutup pencalonan bagi pergerakan Pemuda dan Wanita pula pada 11 Oktober.
Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penetapan tarikh itu lebih awal adalah untuk melicinkan proses pemilihan.
Selain itu, tambahnya, Ketua Menteri yang juga Presiden PBB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka merasmikan perhimpunan Pemuda dan Wa-nita pada 18 dan 19 Oktober.
“Akan ada seminar pada 20 Oktober yang turut merangkumi memperingati 50 tahun perjuangan PBB dalam politik dan pembangunan Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, beberapa kertas kerja juga dibentangkan termasuk melibatkan politik, tahap pembangunan dan meningkatkan kesedaran pendidikan teknikal.
“Kita tidak mahu hanya bergantung kepada agensi kerajaan untuk mempromosi pendidikan teknikal. Saluran parti dilihat sesuai kerana ada di peringkat cawangan dan ranting,” ujarnya.
Beliau berkata, perhimpunan agung yang disertai 5,000 perwakilan dan pemerhati itu akan dirasmikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.
No comments:
Post a Comment