Friday, August 30, 2013

SWP tidak berprinsip dan amal politik tidak jujur: Daud




Utusan Borneo August 30, 2013, Friday
KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) adalah sebuah parti yang tidak berprinsip dan mengamalkan politik yang tidak jujur, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Daud Abdul Rahman.
Atas dasar itu, katanya beliau yakin gabungan kerjasama parti yang pernah mengiktiraf diri sebagai mesra Barisan Nasional (BN) itu dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak akan membawa apa-apa impak kepada BN.
“Mula dulu kata diri mesra BN tapi menentang calon BN pada Pilihan Raya Umum lepas.
“Kemudian mereka kalah di semua kawasan menyebabkan mereka rasa tidak mempunyai masa depan dalam BN dan ingin cuba di tempat lain.
“Ini menunjukkan SWP adalah parti yang tidak jujur dalam perjuangan mereka dan tidak mempunyai hala tuju sedangkan sebelum ini kata mesra BN tetapi sekarang mahu bergabung dengan DAP,” katanya mengulas mengenai SWP di mana Presidennya Larry Sng berkata parti tersebut bersedia berganding bahu dengan DAP.
Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, semalam.
Sehubungan itu, Daud berkata kemasukan SWP ke beberapa kawasan luar bandar misalnya pada pilihan raya lepas telah ditolak oleh kaum Bumiputera khususnya masyarakat Iban.
“Saya pasti mereka (SWP) akan meletakkan calon di kawasan masyarakat Iban pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Ini strategi mereka tetapi saya percaya masyarakat Sarawak khasnya Bumiputera tahu akan prinsip BN dan akan terus menyokong BN,” katanya.
Mengulas mengenai kewujudan parti baharu seperti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu, Daud berkata ia juga tidak akan memberi impak kepada BN.
“Kita mengamalkan demo-krasi dan siapa sahaja boleh mencadangkan parti baharu untuk bertanding.
“Biasalah, hendak pilihan raya maka banyak parti baharu ditubuhkan kerana ingin mencuba nasib.
“Namun berdasarkan sejarah 50 tahun kita mengamalkan demokrasi di Sarawak, setiap parti baharu yang bertanding tidak akan mendapat sokongan orang ramai,” katanya sambil menambah BN Sarawak kini masih kukuh dan kuat tanpa sebarang masalah.



No comments:

Post a Comment