Friday, June 14, 2013

PKR disputes Baram parliamentary win by Anyi




PKR fail petisyen keputusan Baram

by Rosemaria Buma. Borneo Post June 13, 2013, Thursday
MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan pihak pertama dari Pakatan Rakyat (PR) di Sarawak yang memfailkan petisyen untuk mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi kerusi Parlimen P.220 Baram sebagai tidak sah dan batal.
Pengerusi PKR Negeri Baru Bian berkata, petisyen itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Miri di sini petang semalam.
Katanya, dalam petisyen itu, pempetisyen Roland Engan yang merupakan calon PKR bagi kerusi Parlimen P.220 Baram pada PRU13 lalu telah menamakan calon Barisan Nasional (BN) yang kini Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau sebagai responden pertama dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum P.220 Baram, Joseph Belayong Punan yang juga Pegawai Daerah Marudi selaku responden kedua.
Menurut beliau, pertisyen itu difailkan bagi memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan keputusan PRU13 di kerusi Parlimen Baram sebagai tidak sah dan batal mengikut Seksyen 35 (b) dan (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan mengemukakan lapan alasan.
Antaranya, timbul keraguan pada keputusan undi pos dan undi awal; melucutkan hak mengundi beberapa pengundi sah di Kampung Long Item, Kampung Long Lilim dan Kampung Long Miri.
Selain itu, pihak responden juga didakwa gagal mematuhi beberapa peraturan pilihan raya semasa dan selepas proses pengiraan undi dilakukan.
“Justeru kami (PKR) berharap keputusan yang baik akan berpihak kepada PKR kerana kami mempunyai beberapa alasan dan bukti yang kukuh dalam petisyen ini,” katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Miri di sini, semalam.
Katanya, dalam petisyen itu, Roland telah melantik beliau sendiri dan See Chee How selaku Naib Pengerusi PKR Negeri sebagai peguam bela untuk mewakilinya.
Ditanya adakah PKR akan mengemukakan petisyen serupa untuk kawasan Parlimen Saratok, Baru menjawab pada peringkat awal mereka memang berhasrat berbuat demikian.
Namun katanya setelah menimbangkan keseluruhan faktor dan bukti, mereka membuat keputusan untuk memberi lebih tumpuan kepada kerusi Parlimen Baram untuk difailkan petisyen.
“PKR Baram merupakan pihak pertama dari Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini yang memfailkan petisyen PRU13 dan yang kedua di Sarawak selepas BN memfailkan petisyen serupa di Sarikei kelmarin,” ujar beliau lanjut.
PRU13 lalu menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen P.220 Baram iaitu antara calon BN Anyi Ngau, Patrick Sibat (Bebas) dan Roland dari PKR.
Keputusan memihak kepada Anyi yang memperolehi sebanyak 9,182 undi sekali gus menewaskan Patrick Sibat (363) dan Roland (8,988), dengan majoriti undi 194.


No comments:

Post a Comment