Tuesday, May 7, 2013

Guan Eng didesak adakan semula pemilihan CEC - Tunku Abdul Aziz


KUALA LUMPUR 6 Mei - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didesak mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu yang didakwa 'kotor' selepas menafikan hak 753 perwakilan menyertai pemilihan tersebut. Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, ini adalah masa terbaik untuk DAP mengadakan semula CEC bagi membuktikan mereka merupakan parti yang memperjuangkan ketelusan. Selain itu menurutnya, Pertubuhan Pendaftar (ROS) perlu bertindak tegas mengambil tindakan ke atas DAP sekiranya parti itu gagal mengikuti arahan berlandaskan undang-undang yang dikeluarkan ROS. "Sekarang Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah habis dan sampai masanya DAP membuat pemilihan semula CEC yang selepas menafikan hak beberapa perwakilan. "DAP diingatkan agar mengikuti arahan Pertubuhan Pendaftar (ROS) supaya tiada sebarang tindakan diambil ke atas parti itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Keputusan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 itu menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih tetapi selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjadualan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari sebagai anggota CEC. Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti bertindak membuat aduan kepada ROS berikutan kebimbangan mereka terdapat unsur manipulasi dalam keputusan itu. Tambah Abdul Aziz, walaupun desakan dibuat ke atas Guan Eng, beliau yakin Ketua Menteri Pulau Pinang itu tetap berdegil untuk tidak melakukan pemilihan semula CEC. Katanya, Guan Eng takut sekiranya CEC itu dilakukan semula, agenda mempertahankan kuasa dan dinasti Lim akan terbongkar serta beliau tidak lagi berkuasa ke atas parti itu. "Pada pendapat saya, Guan Eng seorang yang keras kepala dan degil. Beliau fikir beliau hebat dan orang besar," katanya. Mengulas mengenai perkara sama bekas Setiuasaha DAP Kampung Baru Balakong, Tan Chew Wah berkata, Guan Eng tidak sewajarnya mencabar ROS sebaliknya mematuhi arahan yang dikeluarkan ROS. Katanya, pemilihan semula CEC itu dapat memberi mengembalikan kepercayaan para perwakilan yang sebelum ini merasa tertindas dengan tindakan Guan Eng. "Pemilihan itu memang perlu dibuat. Saya secara peribadi menyokong jika Guan Eng membuat semula pemilihan CEC," katanya.

utusan malaysia

No comments:

Post a Comment