by Jessica Jawing dan Eswandy Hinri. Borneo April 11, 2013, Thursday
KUCHING: Tempoh berkempen selama 15 hari pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) disifatkan terlalu lama dan ia boleh mengakibatkan pergolakan sosiopolitik yang tidak diingini.
Menyuarakan perkara itu Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata, PRU13 merupakan pilihan raya ‘panas’ dan 15 hari merupakan tempoh terlalu lama untuk berkempen.
“Semua parti politik sudah berkempen sejak setahun lalu, maka tidak ada keperluan bagi kempen yang lama.
“Ia boleh menyebabkan pergolakan sosiopolitik yang kita tidak inginkan kerana PRU13 merupakan pilihan raya ‘panas’,” kata Menteri Kemajuan Tanah itu kepada Utusan Borneo melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di sini, semalam.
Sementara itu Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, parti mematuhi keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu dan merasakan tempoh berkempen sama ada 12 hari atau 15 hari bukan persoalannya.
“Kami sudah menjangkakannya dan bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan untuk menentang pembangkang.
“Bagaimanapun kami meminta supaya semua pihak terlibat termasuk semua penyokong BN/PR daripada semua peringkat untuk mematuhi segala garis panduan dan undang-undang SPR supaya proses pilihan raya berjalan dengan lancar,” kata setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Negeri itu.
Semalam, Bernama melaporkan bahawa hari pengundian bagi PRU13 ditetapkan pada Ahad 5 Mei manakala tarikh penamaan calon pada 20 April.
Pengundian awal ditetapkan pada 30 April yang mana tempoh berkempen ialah selama 15 hari. Tempoh berkempen pada PRU 2008 ialah selama 13 hari.
Ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang digazetkan Khamis (11 April).
PRU13 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof dan Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersependapat bahawa tempoh berkempen pada pilihan raya kali ini adalah terlalu lama dan tidak dijangkakan.
“Berdasarkan keadaan semasa dengan sistem pengangkutan yang begitu baik sekali serta etika ahli-ahli politik adalah begitu berhemah berbanding dahulu, justeru 15 hari untuk berkempen boleh dianggap terlalu lama untuk suatu pilihan raya dijalankan,” ujar Wan Junaidi ketika dihubungi semalam.
Menurutnya keputusan SPR adalah berkemungkinan dipengaruhi oleh pihak Bersih serta Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji proses pilihan raya.
Di samping itu beliau turut berharap pihak keselamatan sentiasa berjaga-jaga serta memantau proses kempen bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Saya berharap para calon yang akan bertanding mengelak daripada membangkitkan isu-isu sensitif semasa berkempen yang boleh menimbulkan kekacauan kerana keselamatan negara dan rakyat adalah lebih penting daripada segalanya,” tegas Wan Junaidi.
Sementara itu, Fadillah berpendapat dengan tambahan lima hari berkemungkinan kos perbelanjaan berkempen juga akan meningkat.
“Barisan Nasional akan tetap akur jika SPR hanya memberikan 10 hari untuk berkempen,” katanya yang jelas sudah bersedia menghadapi pilihan raya nanti.
Beliau juga berpendapat pengumuman SPR adalah bagi memenuhi permintaan pihak yang memberi tekanan dan oleh itu beliau berharap mereka yang terbabit tidak akan menimbulkan kekacauan atau fitnah terhadap SPR selepas ini.
Selain itu Fadillah berkata pengumuman tarikh hari mengundi menunjukkan penambahbaikan perkhidmatan oleh pihak SPR dalam mengendalikan proses pilihan raya di negara ini.
“Ini menunjukkan bahawa SPR adalah sebuah badan yang bebas dan tidak mengikut telunjuk Barisan Nasional seperti yang dinyatakan oleh pihak pembangkang sebelum ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment