KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu sah tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Md Isa, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, adalah antara nama yang digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU kali ini dan tempat beliau digantikan muka baru, Ketua Wanita Umno Perlis, Rela Ahmad. 
BN Perlis menyenaraikan enam muka baru untuk bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Timbalan Ketua Pemuda MCA Perlis, Khaw Hock Kong bagi kerusi DUN Titi Tinggi, Ketua Puteri Umno negeri Perlis, Asmaiza Ahmad(Chuping), Azlan Man (Pauh), Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat) dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahya (Sanglang).


Seorang kontraktor, Shaharuddin Ismail yang juga anggota jawatankuasa Umno Bahagian Kangar adalah muka baru yang dicalonkan bagi kerusi Parlimen Kangar yang sebelum ini disandang Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Md Isa mengumumkan senarai calon itu di Kompleks Warisan di sini selepas melancarkan Manifesto dan Akujanji BN Perlis yang bertemakan "Janji Ditunaikan: Kebajikan Rakyat Diutamakan."

Selain menyenaraikan calon baru, BN juga mengekalkan lapan penyandang bagi kerusi DUN iaitu Datuk Mat Rawi Kassim (Beseri), Khairi Hassan (Mata Ayer), Sabry Ahmad (Santan), Abdul Jamil Saad (Sena), Dr Por Choo Chor (Indera Kayangan), Mat bin Hassan (Kuala Perlis), Ahmad Bakri Ali (Kayang) dan Jafperi Othman (Guar Sanji).

Sementara itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dipindahkan dari DUN Tambun Tulang ke Parlimen Arau manakala adiknya, Datuk Ismail Kassim dipindahkan dari Parlimen Arau ke DUN Tambun Tulang.
Shahidan pernah menjadi Ahli Parlimen Arau selama dua penggal bermula 1986 sebelum menjadi ADUN Tambun Tulang mulai 1995 manakala Ismail menjadi Ahli Parlimen Arau mulai 2008.

Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga bekas ADUN Beseri selama dua penggal bermula 1999 diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Padang Besar.

Sementara itu, selain Md Isa, penyandang kerusi DUN yang tidak dicalonkan semula ialah Mansor Jusoh (Chuping), Yip Sun Onn (Titi Tinggi), Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail (Pauh), di samping Shahidan yang bertukar ke kerusi Parlimen. - BERNAMA