Monday, March 25, 2013

Perbuatan Anwar Ibrahim boleh meletakkan negara dibwah penjajahan semula - YAB KM Pehin Sri Abdul Taib Bin Mahmud




Tindakan Anwar cuba hidupkan semula sistem kolonial: KM

Borneo Post on March 24, 2013, Sunday
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengecam tindakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cuba menghidupkan semula sistem kolonial di negara ini.
Taib berkata, tindakan Anwar yang sering mengimport orang luar untuk campur tangan dalam urusan negara, khususnya dalam politik adalah tidak wajar dan boleh merosakkan perpaduan serta keamanan negara.
“Saya sebenarnya jarang menceritakan mengenai orang lain, tapi beliau (Anwar) telah melampau dan cuba mengheret orang yang tidak ada kena mengena dengan politik kita di negara ini atau orang yang dahulunya menjadi koloni kita untuk campur tangan semula dalam urusan negara.
“Beliau yang kononnya seorang pemimpin jaguh di peringkat antarabangsa dilihat mahu menghidupkan semula sistem pentadbiran kolonialisme di negara ini dengan menggunakan sokongan dari luar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Serba Guna Kampung Lintang, Petra Jaya yang menelan kos pembinaan lebih RM1 juta, semalam.
Hadir sama Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.
Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri memberitahu, tindakan yang diambil ketua pembangkang itu boleh menjatuhkan negara.
“Jaga perpaduan, inilah bentuk perjuangan kita yang paling berharga. Kita tidak mahu orang luar campur tangan dalam urusan mentadbir negara kerana kita tidak mahu pihak koloni menguasai kita lagi dan selama-lamanya,” tambahnya.
Beliau menegaskan, tindakan Anwar itu membuktikan beliau seseorang yang hanya mementingkan politik dan bukannya berjuang untuk rakyat dan negara.
Pada masa sama, beliau memberitahu jika Anwar merupakan rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, beliau seharusnya mengetahui apa yang berlaku dalam negara ini.
“Beliau sepatutnya mempertahankan kedaulatan negara, bukannya bertindak menghancurkannya dengan menggunakan pengaruh luar,” tegasnya.
Selain itu, katanya, kepimpinan Anwar sudah terbukti gagal khasnya dalam menunaikan janji mereka kepada rakyat di negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.
“Beliau telah ditolak di sini (Sarawak), dah tahu hidung tidak mancung janganlah pipi disorong-sorong, kalau nak tengok bukti tengoklah kawasan beliau sendiri Permatang Pauh, tempat itu sekarang masih mundur sama seperti keadaan Mukah pada 20 tahun dahulu.
“Tidak ada banyak kemajuan yang dibawa oleh beliau sebab itu saya tidak hairan mendengar beliau mengatakan hasrat untuk beralih kerusi di kawasan Parlimen lain. Inilah keadaan yang sebenarnya,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap rakyat di negara ini khasnya di Sarawak membuktikan kesetiaan kepada kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

No comments:

Post a Comment