Friday, March 1, 2013

Pencalonan Barbara Mawan 'kejutan saat akhir'?



PRU13 mungkin saksi kejutan saat akhir: Mawan

Utusan Borneo on February 27, 2013, Wednesday
KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang bakal menyaksikan kejutan saat akhir mewarnai kerusi Parlimen yang dilihat sebagai zon kelabu.
Tanpa mengulas lanjut bentuk kejutan yang akan berlaku, Mawan memberitahu, bagaimanapun ia terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat untuk menentukannya.
“Kita tidak menolak kejutan akan berlaku jika kejutan adalah apa yang kita perlukan untuk menang… tetapi sudah tentu ia hendaklah tidak bercanggah dengan prinsip serta semangat BN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Kecil Meraih Dana Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) di pejabatnya, di sini, semalam.
SPDP diperuntukkan empat daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak iaitu Baram, Bintulu, Saratok dan Mas Gading.
Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, parti telah menyerahkan senarai nama calon yang berkemungkinan akan menyaksikan muka baharu kepada pucuk pimpinan BN.
Namun katanya, terserah kepada pucuk pimpinan jika calon-calon dipilih parti itu akan bertanding atau sebaliknya setelah melakukan beberapa penilaian seperti usaha-usaha turun padang yang dilaksanakan.
Menjawab satu soalan, Mawan berkata mereka tidak pernah meletakkan Parlimen Baram sebagai satu kawasan ‘tipis harapan’ walaupun dilihat sebagai kawasan hitam dengan isu Empangan Murum yang hebat dimainkan oleh pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara.
“Apa yang penting untuk parti (pada PRU13) adalah mendapatkan kerjasama penuh di kalangan rakan BN,” katanya.
Mawan turut melahirkan keyakinan tinggi bahawa SPDP mampu mempertahankan empat kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada mereka kerana mempunyai persiapan yang secukupnya di setiap kawasan tersebut.
“Keadaan akan baik di Bintulu, Mas Gading dan Saratok.
“Manakala bagi Baram, kami ada formula untuk mempertahankan konstituensi itu kerana kami telah meneliti isu yang dimainkan.
“Kami mampu menang dengan apa sahaja bantuan yang dapat dihulurkan daripada pelbagai sudut serta dengan kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment