Tian Chua didakwa bawah Akta Hasutan
Tian Chua (tengah) bersama pemimpin PKR tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi tuduhan. - Foto SINAR HARIAN oleh Zulfadhli Zaki
Tian Chua
Naib Presiden PKR, Tian Chua hadir di mahkamah hari ini untuk menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan - Foto ZULFADHLI ZAKI
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Tian Chua berhadapan dengan tuduhan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan Lahad Datu, 1 Mac lalu.

Beliau menghadapi pertuduhan menyebut perkataan menghasut dengan membuat empat kenyataan berhubung isu Lahad Datu.

Empat kenyataan itu ialah:
  
* Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat;

* Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan Umno;

* Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah; dan

* Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dari isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.
    
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, Off Jalan Yew, Kuala Lumpur.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Selepas pertuduhan dibacakan, Tian Chua bagaimanapun mendakwa tuduhan itu bermotifkan politik dan mohon untuk dibicarakan bagi membersihkan namanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Yusaini Ammir Abd Karim manakala Tian Chua diwakili oleh peguam N. Surendran, Latheefa Koya dan William Yew.

Sementara itu, Hakim Mohamad Sakeri Mamat membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 April depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, sebelum mahkamah memutuskan ikat jamin, Surendran meminta tertuduh dibebaskan atas bon peribadi tanpa jaminan wang berdasarkan latar belakang tertuduh sebagai ahli Parlimen dan juga merupakan pemimpin kanan sebuah parti politik yang tidak memungkinkan tertuduh melarikan diri daripada menghadapi perbicaraan.

Hakim bagaimanapun menolak permohonan itu dan menetapkan tarikh sebutan semula kes.

Tambah Surendran, pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk membatalkan tuduhan ke atas tertuduh di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.