Friday, December 14, 2012

Sejarah Pasar Satok harus diketahui - YB Datuk Amar Abang Johari




Pasar Satok cuma sementara, peniaga perlu pindah ke Medan Niaga Satok

Posted on December 12, 2012, Wednesday
KUCHING: Isu pemindahan para peniaga Pasar Satok atau lebih dikenali sebagai Pasar Minggu ke Medan Niaga Satok tidak harus timbul kerana tapak perniagaan itu sebenarnya hanya bersifat sementara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menjelaskan, pasar sekarang adalah tapak sementara yang diwujudkan oleh kerajaan negeri hampir 30 tahun lepas bagi mengelak keadaan kotor dan kesesakan lalu lintas di dua pasar sebelumnya.
Menyingkap sejarah, Abang Johari berkata, ia bermula dari Market Street pada 1980-an di mana ketika itu hanya terdapat sebilangan kecil peniaga yang kebanyakannya dari kawasan Bau dan Padawan menjual hasil hutan.
Katanya, mereka kemudian dipindahkan ke lokasi dinamakan Padang Pasir, juga untuk sementara, tetapi perniagaan di situ telah menjejaskan kebersihan kawasan sekitarnya menyebabkan ia seterusnya dipindahkan ke Satok.
Tambah Abang Johari, pemindahan ke Satok juga adalah bersifat sementara, di mana ketika itu, tiada infrastruktur untuk kemudahan para penjaja sehinggakan ada di kalangan penjaja dari Bau dan Padawan terpaksa bermalam di kaki lima bagi meneruskan jualan pada hari seterusnya.
Selepas itu, katanya, atas usaha Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), sebuah tempat berniaga berbumbung telah dibina berhampiran yang juga bersifat sementara, tetapi ia mendapat aduan daripada penghuni rumah-rumah berhampiran kerana menjejaskan kebersihan.
“Dan sampai hari ini, ia menjadi sementara yang panjang kerana kita tidak mempunyai dana untuk membina tapak niaga baharu yang tetap dan sesuai sehingga kita mendapat peruntukan sebanyak RM47 juta daripada kerajaan persekutuan menerusi FAMA.
“Sebab itu, kita bina Medan Niaga Satok ini dengan infrastruktur yang lengkap untuk para penjaja iaitu dengan erti kata lain, penjaja dari Bau, Padawan dan Serian juga boleh berniaga di sini.
“Maknanya, di sini kita telah memberikan mereka tempat berniaga yang baik dan tetap,” kata Abang Johari yang juga Menteri Perumahan pada sidang media di Ibu Pejabat FAMA di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan bahawa 95 peratus peniaga yang berniaga di Pasar Satok enggan berpindah ke Medan Niaga Satok.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum 1 Januari 2013 untuk para peniaga Pasar Satok berpindah ke Medan Niaga Satok dengan kerja-kerja akhir di tapak sedang giat dijalankan termasuk pembesaran jalan raya.
Menurutnya lagi, tapak perniagaan baharu itu menyediakan ruang niaga yang luas dengan pelbagai kemudahan serta bersih, sekali gus mampu menjadi tarikan pengunjung.


No comments:

Post a Comment