Saturday, May 15, 2010

Analisa Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu

Oleh Prof. Dr. X

SIBU: Satu demi satu perisai digunakan BN demi mempertahankan kemenangan mereka di kerusi Parlimen Sibu yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum 2008.

Perisai untuk menangkis serangan bertali arus yang dilancarkan DAP bagi memusnahkan kubu BN - bukan kubu kuat.

Serangan DAP pada mulanya bertumpu terhadap masalah banjir, pendidikan aliran Cina, peluang pekerjaan, agihan ekonomi dan kemudahan infrastruktur di beberapa kawasan pinggir bandar yang dihuni majoriti Iban rumah panjang.


Itu didedahkan para pemimpin DAP sebelum kempen bermula. Ia di lihat sebagai antara strategi didedahkan untuk mengaburi mata BN dalam mengatur kekemasan tangkisan.


Apabila gendang kempen dipalu pada 8 Mei, terutama pada hari kedua, DAP menyerang menggunakan isu perkataan Allah oleh Kristian.

Mengatasi masalah banjir, BN siap sedia dengan penangkis, meskipun pilihan raya kecil belum bermula.

Projek tebatan banjir diumumkan dengan kos RM300 juta untuk kerja-kerja fasa pertama. Keseluruhan kos projek dianggarkan RM1 bilion yang akan dilaksanakan secara fasa demi fasa.

Ketibaan Najib di Sibu pada Rabu lepas, komuniti Cina mendapat habuan apabila menerima sumbangan RM18 juta daripada kerajaan bagi membiayai aktiviti berkaitan 65 sekolah aliran Cina dan dua sekolah mubaligh.

Kerajaan turut mengumumkan peruntukan untuk membina kemudahan jalan raya serta menyediakan bekalan air dan elektrik untuk kawasan pinggir bandar.

Agihan ekonomi cuba diselesaikan BN dengan memuji sumbangan komuniti perniagaan Cina yang sering dikaitkan dengan kemakmuran negara.

Rata-rata kaum elit dan berpengaruh di kalangan kaum Cina memiliki hartanah yang banyak - sama ada tanah pertanian, komersial atau kediaman.

Setelah memasuki hari keenam kempen (14 Mei), isu bayaran pajakan tanah digunakan BN untuk meraih undi.

Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud mengumumkan kadar baru bayaran tersebut.

Ironinya, pengamal media massa cuma dimaklumkan pengumuman itu pada saat-saat akhir.

Adakah kerajaan baru muncul dengan keputusan semakan semula itu pada tengah hari 14 Mei?

Atau terdesak atas faktor pilihan raya yang semakin hampir.

Kali ini belum menyentuh perkara berhubung hak milik NCR. Ia cuma menyentuh masalah tanah yang membebani penghuni bandar atau pemilik hartanah.

DAP atau pembangkang amat sinonim dengan menggula-gulakan rakyat dengan isu tanah. BN bertindak cepat menangkis serangan pembangkang yang berusaha mengambil hati golongan di bandar Sibu.

Berkuat kuasa 1 Jun 2010, bayaran premium akan lebih murah - begitu yang dikatakan oleh Abdul Taib. Malahan paling rendah berbanding sewa dikenakan di negeri-negeri lain.

Mungkin Abdul Taib mengambil keputusan itu setelah menyedari pembangkang meramalkan peluang untuk mereka menang semakin meningkat bermodalkan isu bayaran pajakan hartanah.

Untuk kategori kediaman, kadar pajakan rumah teres ialah RM1,000 seunit; rumah berkembar RM3,000; dan RM6,000 rumah sebuah.

Kategori komersial di bandar utama ialah RM60,000 seunit; RM20,000 di bandar sekunder; dan pekan RM10,000.

Tanah kategori pertanian di bandar dikenakan bayaran RM5,000 seekar; pinggir bandar RM2,500; dan RM200 di kampung.

Tempoh pajakan tanah ialah 60 tahun.

Apa yang menarik ialah apabila Abdul Taib memberitahu, kajian itu merupakan tindakan kerajaan setelah para pemimpin SUPP memberi maklumat agar kadar itu diturunkan.

Soal tarikan dalam hal ini bukan berkisar dengan Abdul Taib, tetapi kegusaran SUPP yang semakin mendapat saingan daripada DAP dalam memperjuangkan kaum Cina.

Apatah lagi apabila pilihan raya negeri dikatakan semakin hampir. SUPP tewas di lapan kerusi pada pilihan raya negeri 2006.

Antara isu utama DAP pada masa itu ialah bayaran pajakan tanah. Itu senjata DAP untuk 'membeli' undi daripada kaum Cina. Ia masih relevan sehingga sekarang dan mungkin menjadi senjata pemusnah.

Pemilik NCR tidak diberi surat hak milik yang kebanyakannya dimiliki Dayak di luar atau pinggir bandar, pada pilihan raya ini kurang disentuh.

Pengundi Iban di kawasan Parlimen Sibu menyumbang antara 18 dan 20 peratus daripada 54,695 pengundi.

Jelas, pilihan raya kecil Parlimen Sibu amat berkait rapat dengan latar belakang para pengundi.

Masalah Iban dan Melanau di pinggir bandar Sibu cuba diselesaikan dengan infrastruktur. Melayu/ Melanau di kampung-kampung di pinggir pusat bandar berkisar tentang pembangunan Islam.

Itu merupakan penilaian dilakukan selepas kunjungan Muhyiddin di kawasan penempatan Melayu/ Melanau banyak berkisar tentang pembangunan Islam.

Pengundi majoriti Cina ditatang umpama minyak yang penuh kerana mereka majoriti. Lumrah alam, yang majoriti diberi keutamaan.

Satu perkara yang boleh disifatkan sebagai 'pandangan ke depan' ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen Sibu.

Mungkin lebih ramai pengundi Bumiputera dimasukkan dengan meluaskan kawasan ke penempatan kaum Iban dan Melanau di Batang Igan - anak sungai Batang Rejang.

Fakta! Bumiputera di pinggir dan luar bandar lebih memerlukan BN untuk memenuhi keperluan seperti bekalan elektrik dan air bersih, jalan raya dan pembiayaan membaiki rumah panjang.

Ini membuktikan komposisi kaum dalam sesebuah kawasan pilihan raya amat penting dalam menentukan kemenangan.

2 comments:

  1. Pemimpin-pemimpin melayu/bumiputera harus menyuarakan masalah penduduk dikawasan mereka, peluang terbaik sebelum pilihanraya DUN bermula..kami sudah muak dengan pemimpin melayu/bumiputera yg kaki ampu..

    ReplyDelete
  2. susah nak buang pemimpin yang kaki ampu kalau maklumat susah nak sampai ke atas. ada hantu-hantu disekeliling tok uban.

    ReplyDelete